MOGA BAHAGIA IBU DI DUNIA
DAN DI AKHIRAT SANA
AL FATIHAH
Have A Million Dream... Hope Will Be Come True... Pray For This...
KUALA LUMPUR 15 Feb. – Bapa kepada penyanyi terkenal, Datin Seri Siti Nurhaliza, Taruddin Ismail meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang dekat sini pada pukul 11.50 pagi ini akibat serangan jantung.
Pesara polis berusia 67 tahun itu turut mengalami komplikasi buah pinggang dan kencing manis.
Allahyarham dimasukkan ke hospital tersebut sejak Jumaat lalu selepas rebah di kediamannya di Kuala Lipis kira-kira pukul 5 pagi.
Selepas dikejarkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri, beliau kemudian menjalani pembedahan pintasan koronari pada hari yang sama.
Bagaimanapun, sebaik selesai pembedahan, Allahyarham tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pagi ini di sisi isteri, Siti Salmah Bachik, 57, dan tujuh orang anak.
Menurut Siti, pemergian allahyarham cukup dirasai kerana bapanya itu adalah orang yang banyak memberikan semangat untuknya melalui liku-liku hidup sebagai insan seni.
“Selain ibu, bapa saya jugalah yang akan bersusah payah menguruskan Siti sewaktu Siti ingin memasuki pertandingan nyanyian ketika zaman kanak-kanak dahulu.
“Dia banyak beri dorongan. Siti selalu dinasihatkan oleh bapa saya agar sentiasa kuat semangat.
“Siti reda dengan pemergiannya walau berasa sedih,” jelas Siti kepada pemberita di sini.
Katanya, sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia sempat membisikkan kalimah syahadah di telinga allahyarham di samping membacakan surah Yasin bersama ibu dan adik beradik yang lain.
Sementara itu, jenazah allahyarham dibawa ke kediaman Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa di Bukit Antarabangsa untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.
Antara kenamaan yang menziarahi jenazah adalah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob.
Jenazah kemudiannya dibawa ke Kuala Lipis untuk urusan pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tempoyang selepas solat Maghrib ini.
Sementara itu, jenazah bapa Siti Nurhaliza selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tempoyang pada pukul 7.30 petang ini.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham tiba pada pukul 6.35 petang untuk disembahyangkan di Masjid Adi Talib, lebih kurang 300 meter dari tanah perkuburan tersebut.
Kira-kira 500 penduduk tempatan dan saudara mara termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Padang Tengku, Abdul Rahman Mohamed turut hadir menyaksikan upacara pengkebumian itu.
Sumber Utusan
Posted by MOHD TARMIZI YUSSOP at 4:55 AM 0 comments
Labels: News, Siti Nurhaliza
Posted by MOHD TARMIZI YUSSOP at 8:22 PM 0 comments
ANDA cukup tidur? Bagaimana dengan pasangan atau ahli keluarga anda? Mungkin anda lesu walaupun selepas berjam-jam tidur akibat apnea (aliran udara terhalang), sementara pasangan anda pula lesu kerana melayan alunan dengkur anda sepanjang malam.
Dianggarkan hampir 5.55 juta penduduk Malaysia, tidak mengira jantina dan umur, menghasilkan orkestra dengkur setiap malam, sama ada ‘berdengkur tetap’ ataupun ‘berdengkur sambilan’.
Masalah dengkur bukan sahaja mengganggu penghidap malahan orang di sekitarnya, dan mungkin menjejaskan kualiti tidur lebih satu pertiga penduduk negara ini setiap malam.
Dengkur juga mengganggu ketenangan percutian dan perjalanan jauh di dalam bas, kereta api mahupun kapal terbang
Ada juga pasangan yang terpaksa tidur berasingan kerana tidak tahan dengan ‘dengungan’ berpanjangan setiap malam.
Dengkur bukan apnea
Masalah struktur sekitar salur pernafasan biasanya akan menyebabkan dengkur berpanjangan sementara masalah hidung tersumbat, keletihan dan penggunaan ubat tertentu menyebabkan ‘dengkur sambilan’.
Gangguan tempoh dan kualiti tidur penghidap dengkur dan orang di sekelilingnya dalam jangka panjang dikhuatiri membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius.
Tidur tidak cukup atau kurang kualiti mungkin membawa kepada diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, strok serta gangguan fungsi dan ketahanan badan.
Pakar Bedah dan Perunding Leher dan Kepala (ENT), Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Dr. Abd. Razak Rahman Hamzah menegaskan dengkur adalah sesuatu yang hanya berlaku ketika tidur dan ia berbeza berbanding apnea.
“Penyempitan salur udara menyebabkan pergolakan tekanan udara dan getaran palet lembut (lelangit) serta dinding farinks. Getaran ini seterusnya menghasilkan bunyi khusus dengkur.
“Apnea pula merupakan halangan penuh salur pernafasan (hidung atau mulut) sehinggakan penghidap berhenti bernafas sekurang-kurangnya 10 saat, berulang kali semasa tidur,” katanya. Menurut beliau, dengkur dan apnea mungkin hadir bersama atau hanya salah satu sahaja.
Tegasnya, bahaya utama adalah apabila penghidap dengkur mempunyai Apnea Tidur Halangan (OSA) yang teruk, menyebabkannya berhenti bernafas lebih 30 saat, berulang kali semasa tidur.
Oleh itu, individu yang berdengkur perlu menjalani ujian tertentu bagi menentukan klasifikasi dengkur biasa, sehinggalah ke tahap OSA yang teruk.
Individu yang mengalami dengkur biasa tidak menghadapi banyak masalah selain bunyi dan keselesaan tidur (penghidap dan ahli keluarga).
Namun, individu yang berdengkur dengan kuat dan mengalami OSA yang teruk mungkin terjejas kesihatannya dalam jangka panjang.
Tahap teruknya apnea ditentukan melalui kiraan setiap jam, rendah (10 apnea sejam), sederhana (20 hingga 30) atau teruk (lebih 40 apnea sejam).
Dengkur dan apnea boleh menyebabkan kekurangan oksigen ke otak dan jantung, menjejaskan fungsi otak dan tekanan kepada jantung (jantung makin besar, denyut jantung dan pernafasan makin laju).
Gangguan tidur pesakit jelas kelihatan jika mereka masih mengantuk di waktu pagi sementara kanak-kanak kelihatan sukar memberi tumpuan.
Dr. Abd. Razak menjelaskan kira-kira 20 peratus populasi penduduk negara ini mempunyai masalah dengkur.
“Mereka yang kuat minum minuman beralkohol dan mempunyai berat badan berlebihan juga lebih mudah berdengkur,” ujarnya.
Jelas beliau, kanak-kanak juga mungkin berdengkur, selalunya berpunca daripada masalah tonsil.
Keluarga
Masalah dengkur turut menjejaskan tidur pasangan serta keluarga penghidap, dan selalunya merekalah yang mengenal pasti masalah tersebut.
Menurut Dr. Abd. Razak, sering kali pasangan penghidap yang mengadu tentang masalah dengkur tersebut sedangkan penghidap sendiri tidak mengakui atau tidak mengaitkan kelesuan serta sering rasa mengantuk dengan masalah dengkur.
“Sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang memalukan kerana dengkur juga boleh berlaku jika seseorang itu terlalu letih dan juga dengan peningkatan usia. Ini kerana otot dan tisu lembut di sekitar salur pernafasan akan semakin kendur, seterusnya bergetar atau menghalang aliran udara.
“Orang kurus juga boleh berdengkur. Bunyi dengkur yang kuat pula tidak bererti masalah dengkur yang teruk, sebaliknya kehadiran apnea yang menentukan bahaya kepada penghidap,” tegasnya.
Jelas beliau, terdapat bermacam kaedah rawatan ditawarkan untuk mereka yang berdengkur atau mengalami apnea.
Tambahnya, kajian waktu tidur boleh dijalankan di rumah atau hospital, sementara kaedah rawatan mungkin semudah membetulkan posisi tidur dan mengurangkan berat badan, atau mungkin memerlukan pembedahan jika ia teruk atau membahayakan kesihatan.
Rawatan untuk mengurangkan atau menghentikan dengkur juga dapat meningkatkan kualiti tidur pasangan dan keluarga, mengurangkan bilangan ‘muka-muka lesu’ di sekolah dan pejabat.
Dengkur sememangnya bukan sesuatu yang perlu dimalukan, terutamanya dengan satu daripada lima rakyat negara ini berdengkur.
Namun, rawatan perlu dipertimbangkan jika ia mengganggu rehat anda dan keluarga, terutamanya jika dengkur anda diiringi masalah apnea.
Dapatkan maklumat terkini mengenai cara menguji dan merawat masalah dengkur anda melalui internet atau doktor pakar telinga, hidung dan tekak (ENT). Kembalikan kesunyian malam keluarga dan tingkatkan kecergasan pagi anda.
Sumber Utusan Online
Posted by MOHD TARMIZI YUSSOP at 8:53 PM 0 comments
Posted by MOHD TARMIZI YUSSOP at 8:27 PM 0 comments
Labels: Memey Suhaiza, News, Norman hakim
Posted by MOHD TARMIZI YUSSOP at 5:28 PM 1 comments
Labels: My Self
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my
TARIKH 21 Oktober 2008 pastinya akan menjadi tarikh yang akan dikenang oleh Mawi dan buah hati pengarang jantungnya, Ekin apabila segala-galanya tentang perkahwinan mereka dirungkaikan kepada pihak wartawan dan juga peminat yang menyaksikan sidang media mereka yang disiarkan menerusi saluran Awani, Astro.
Menurut Mawi, jika diikutkan kata hati, mahu sahaja dia melangsungkan perkahwinan dalam suasana yang cukup sederhana.
Tetapi, beliau sedar, dengan statusnya sebagai penyanyi popular, agak mustahil untuknya berbuat demikian. Katanya, bimbang ada pula yang berkecil hati.
Namanya pun Mawi. Jadi, mahu atau tidak, beliau harus melangsungkan perkahwinannya dalam suasana yang agak berbeza dengan apa yang diidamkannya selama ini.
Itulah penangan dan harga yang perlu dibayar untuk menjadi seorang yang popular seperti Mawi.
Apa sahaja gerak-gerinya akan sentiasa mendapat perhatian dan menjadi bualan ramai.
Luah Mawi dengan jujur, beliau mahu hari bersejarahnya itu kelak dikongsi bersama mereka yang banyak membangunkan karier seninya sepanjang tiga tahun bergelar artis.
“Saya cukup faham kalau buat kerja kahwin ini bukanlah satu kerja yang mudah. Nanti kalau kita buat besar-besaran, kita akan dikatakan cuba menunjuk-nunjuk dan riak. Tapi, kalau buat secara sederhana atau kecil-kecilan, lain pula yang dikatakan oleh orang luar seperti kedekut dan sebagainya.
“Jadi, selepas perbincangan dibuat dengan keluarga masing-masing dan juga Astro, jadi, inilah apa yang saya perlu lakukan demi menjaga hati semua pihak terutama peminat saya yang akan dapat menyaksikannya menerusi kaca televisyen. Saya mahu mereka sama-sama meraikan hari bersejarah saya,” kata Mawi sambil dipersetujui oleh Ekin.
Diminta untuk menceritakan tentang lamaran kepada buah hati pengarang jantungnya itu, Mawi sendiri tidak menyangka perkara itu (lamaran) akan terpacul daripada mulutnya saat ketika itu dia berada di Syria untuk melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang hos.
“Saya masih ingat lagi ketika itu pada tarikh 30 April dan waktunya pula adalah pada pukul 12 tengah malam. Saya duduk di tepi tangga di hotel penginapan saya dan saya pun menghubungi Ekin.
“Biasalah, kalau jauh di mata, rindu pasti menyala dan membara (ketawa). Entah bagaimana, saya tanya kepada dia apa kata kalau kita kahwin bulan 12 nanti?
“Selepas daripada itu, orang pertama yang tahu adalah kakak saya dan kami pun menghantar rombongan merisik ke rumah keluarga Ekin pada bulan Jun lalu. Hasil daripada perbincangan kedua belah keluarga, kami menetapkan tarikh perkahwinan kami adalah dalam tempoh enam bulan daripada tarikh merisik,” cerita Mawi lagi.
Bagaimanapun, jelas Mawi, wang hantaran masih belum ditetapkan kerana keluarga Ekin tidak menetapkan sebarang harga untuk Mawi memberikan kepada kekasihnya itu.
“Saya ada bertanyakan kepada ibu Ekin berapa wang hantaran yang ditetapkan. Namun, apabila ibunya memberikan jawapan terpulang kepada saya untuk menetapkan sendiri, saya menjadi bingung (ketawa).
“Jadi, perkara itu masih lagi dalam perbincangan dan apa yang pasti, ia bukanlah senaskhah al-Quran,” kata Mawi sambil merujuk kepada soalan yang diberikan oleh pihak media.
Bagi Ekin sendiri, beliau tidak pernah menyangka Mawi akan melamarnya menerusi telefon dan berhasrat untuk menyuntingnya menjadi isterinya.
“Bila saya dengar dia berkata demikian, saya memang terperanjat kerana tidak menyangka itu yang keluar dari mulut Mawi yang saya kenal sebagai seorang yang gila-gila, happy go lucky dan kadang-kala bagaikan tiada perasaan apabila berbicara dengannya. Inilah yang dikatakan jodoh,” jelas pemilik nama sebenar Nora’ashikin Rahmat ini sambil mengerling manja kepada Mawi.
Berpacaran dengan bintang popular seperti Mawi, implikasinya memang memberikan tamparan yang cukup hebat buat Ekin.
“Ada ketikanya saya mahu menyerah kalah dan hampir putus asa dengan hubungan ini. Apatah lagi, kata nista dan cercaan yang dilemparkan kepada saya di awal perkenalan saya dengan Mawi, ia secara tidak langsung memberi kesan yang mendalam terhadap diri saya.
“Namun, saya serahkan kepada takdir dan saya mengharunginya dengan penuh kesabaran. Sokongan daripada Mawi juga banyak membantu saya berdepan dengan cabaran ini.
“Insya-Allah, saya akan berusaha untuk menjadi seorang isteri yang solehah,” ujar bekas pelakon drama bersiri Kawan ini lagi.
Mawi akan menikahi Ekin pada 20 Disember ini di sebuah masjid yang masih belum ditetapkan lagi di Johor Bahru.
Pada sebelah malamnya, resepsi pihak pengantin perempuan akan diadakan di Stadium Tertutup Johor Bahru berkonsepkan moden kontemporari.
Untuk majlis tersebut, Ekin akan mengenakan busana rekaan Putra daripada Cosry.
Pada 28 Disember pula, majlis sambut menantu akan diadakan di Dewan Felda Taib Andak, Kulai, Johor, dengan mengetengahkan konsep Jawa seperti mana yang dikehendaki sendiri oleh Mawi dan rekaan pakaian pengantin serta pelamin adalah ilham Zulfazli Suhadi dan Arma Couture.
Menariknya, malam sebelum itu, Mawi akan mengadakan sebuah konsert percuma di Padang Felda Taib Andak untuk para peminatnya yang akan menyaksikan dirinya membuat persembahan bersama bintang-bintang Akademi Fantasia serta artis-artis lain yang masih belum lagi diputuskan.
Kemuncak kepada majlis perkahwinan yang dianggap sebagai wedding of the year ini adalah majlis resepsi istimewa yang bakal diadakan di Hotel Palace of the Golden Horses pada 11 Januari 2009 dengan mengambil tema Malam Arab atau Arabian Night.
Untuk tema Malam Arab itu nanti, pereka terkenal, Rizalman Ibrahim dan Bon Zainal telah dipilih untuk mereka pakaian pengantin dan juga pelamin.
Malah, merpati dua sejoli ini akan menghadiri kursus kahwin eksklusif hanya untuk mereka berdua sahaja pada 4 November ini di Masjid Putrajaya.
Melihatkan perancangan yang telah dilakukan, dapat disimpulkan perbelanjaan untuk merealisasikan perkahwinan empunya nama penuh Asmawi Ani ini sudah pasti melibatkan kos yang besar.
Malah, ada yang mengatakan Mawi telah menerima peruntukan sebanyak RM5 juta untuk menyiarkan hak eksklusif kepada Astro sempena perkahwinannya kelak.
“Ingin saya jelaskan di sini, segala spekulasi dan khabar angin yang mengatakan saya menerima sejumlah wang yang dikatakan itu adalah tidak benar sama sekali. Tidak mungkin perkara itu akan terjadi,” ujar Mawi lagi.
Melihatkan riak wajah Mawi pada majlis sidang akhbar tersebut, sememangnya terpancar rona bahagia di wajahnya. Mungkin Mawi sendiri tidak pernah bermimpi untuk berdepan dengan situasi yang sebegini.
Lupakan sahaja kisah lampau yang telah memberikan impak yang bukan sedikit kepada diri anak muda berusia 27 tahun ini.
Apa yang pasti kini, dia mempunyai seorang sahabat yang sanggup bersusah senang bersamanya yang akan menjadi suri hidupnya.
“Ekin hadir dalam hidup saya tatkala saya memerlukan seseorang untuk mendengar keluhan dan rintihan saya di kala saya berduka. Dia seorang pendengar yang setia dan saya bertuah mempunyai seorang sahabat yang akan menjadi isteri saya.
“Malah, selepas berkahwin nanti, saya tidak akan menyekat aktiviti seninya malah, memberikan sokongan padu untuknya,” ujar Mawi tersenyum manis.
Mengecapi hidup sebagai seorang anak seni yang disanjung dan dipuja telah banyak mematangkan Mawi dalam setiap perkara yang mendatangi dirinya.
Untuk itu juga, dia begitu optimis dengan dirinya apabila diajukan soalan tentang popularitinya yang akan jatuh merudum apabila bergelar suami kelak.
“Rezeki semuanya ditentukan oleh Allah. Saya sebagai seorang artis akan sentiasa bekerja keras untuk terus menjadikan diri saya lebih baik daripada sebelumnya. Apa yang saya pinta kepada semua pihak terutama peminat saya, teruskan memberikan sokongan dan doakanlah kebahagiaan kami,” kata Mawi penuh harapan.
Posted by MOHD TARMIZI YUSSOP at 6:25 AM 0 comments
Labels: Mawi
KAJIAN saintifik telah membuktikan bahawa tekanan oksidan (kerosakan sel angkara radikal bebas) merupakan penyebab sebenar bagi lebih 70 jenis penyakit kronik yang berpunca daripada penyakit-penyakit seperti kencing manis, kanser, penyakit jantung, artritis, sehinggalah ke penyakit sklerosis dan Alzheimer.
Proses yang sama membuatkan besi berkarat atau epal yang dipotong bertukar warna menjadi perang, merupakan sebab yang mendasari terjadinya penyakit-penyakit berkenaan.
Apa sebenarnya yang ingin dinyatakan ialah kita semua sedang “berkarat” dari dalam. Setiap penyakit degeneratif yang kronik merupakan akibat secara langsung kesan-kesan toksik yang dihasilkan oleh tekanan oksidan ataupun kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas.
Sebenarnya, tekanan oksidan merupakan teori utama di sebalik proses penuaan itu sendiri. Di samping itu, badan kita sentiasa diserang oleh pencemaran yang wujud dalam udara, makanan dan air.
Gaya hidup yang penuh dengan tekanan dan ketegangan juga amat berbahaya. Sekiranya kita tidak menyekat proses ini daripada terus berlaku, akibatnya ialah kemerosotan sel yang berterusan dan akhirnya kita akan menderita dengan penyakit.
Melalui penyelidikan dan amalan yang dilakukan sendiri, didapati bahawa pertahanan yang paling kuat terhadap penyakit-penyakit ialah sistem ketahanan semula jadi badan kita sendiri.
Ia jauh lebih unggul daripada mana-mana ubat yang mampu dipreskripsikan oleh doktor. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa penggunaan suplemen nutrisi terhadap para pesakit bukan hanya sebagai perubatan alternatif, tetapi sebaliknya merupakan satu bentuk perubatan pelengkap.
Pada hakikatnya, ia mungkin mewakili perubatan terkemuka yang paling baik kerana ia merupakan perubatan pencegahan yang tulen.
Mengambil suplemen nutrisi bukan bertujuan hendak menghapuskan sama sekali penyakit tetapi ialah untuk menggalakkan kesihatan, bersemangat lagi bertenaga.
Vitamin E dengan tokoferol bercampur adalah salah satu daripada suplemen yang memanfaatkan hampir semua orang yang mengambilnya.
Di bawah ini terdapat beberapa hasil penyelidikan yang telah mengesahkan kesan pencegahan dan kesan anti oksidan vitamin E bercampur tokoferol:
Bagaimana Hendak Memilih Jenis Vitamin E yang Betul
Dengan kesan-kesan perlindungan dan kesihatan yang begitu hebat, maka persoalan yang timbul ialah jenis vitamin E yang mana satukah patut anda ambil.
Untuk memberi sedikit pemahaman tentang perkara ini, vitamin E (tokoferol) terdiri daripada empat ahli, iaitu alfa-, beta-, gamma-, dan delta tokoferol.
Kebanyakan jenama produk suplemen vitamin E yang dijual mengandungi hanya satu ahli daripada keluarga tokoferol vitamin E, iaitu alfa tokoferol, yang tidak memberi anda perlindungan secara lengkap dan menyeluruh.
Jika anda mengambil suplemen vitamin E, maka pilihlah produk vitamin E yang mengandungi campuran alfa-, beta-, gamma- dan delta tokoferol bersama dengan succinate vitamin E, kerana ia bertindak secara bersinergi untuk memberikan manfaat-manfaat kesihatan yang maksimum.
Maklumat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan seharusnya tidak digunakan sebagai ganti nasihat kesihatan peribadi. Jika anda sedang mengalami masalah kesihatan, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan pengamal pakar kesihatan.
Posted by MOHD TARMIZI YUSSOP at 1:08 PM 1 comments
Labels: Health
Posted by MOHD TARMIZI YUSSOP at 6:12 AM 0 comments
Labels: Bicara Din
Penyelidik Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerangkan prosedur membawa bahan tabung uji penyelidikan Fakulti Perubatan universiti itu kepada Angkasawan Negara, Dr. Faiz Khaleed (kiri) dan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor semasa melawat fakulti tersebut Naluri manusia sememangnya suka mencari kelainan dan meneroka sesuatu yang baru. Angkasa semenjak zaman dahulu kala lagi telah menarik minat mereka.
Fenomena seperti pergerakan bintang, planet, kejadian gerhana, komet dan lain-lain lagi telah menarik keinginan manusia untuk mengetahui dengan lebih terperinci lagi, apa rahsianya, apa yang berlaku di 'atas' sana. Ia masih misteri dan penjelasan untuknya perlu dicari.
Selama beribu-ribu tahun, manusia berangan untuk menjelajah ke angkasa, melawat planet, matahari, bulan dan lain-lain. Penjelajahan tersebut bermula dengan pengamatan dengan mata kasar, teropong, teleskop dan penghantaran satelit ke angkasa.
Satu era penjelajahan baru bermula apabila konsep stesen angkasa mula diperkatakan oleh Hermann Julius Oberth, seorang saintis Romania.
Pada tahun 1952, Dr. Werner von Braun membayangkan konsep stesen angkasa yang mempunyai diameter 7.6 meter.
Impian itu semakin menjadi kenyataan bila sebuah roket berkuasa tinggi telah dilancarkan pada 4 Oktober 1957 yang membawa satelit buatan pertama, Sputnik 1 ke angkasa.
Semenjak itu, beratus-ratus satelit telah dilancarkan ke angkasa dengan pelbagai aplikasi seperti pemerhatian bumi, komunikasi, meramal cuaca dan sebagainya.
Persoalan mengapa manusia perlu ke angkasa, apakah keuntungannya sering diperbahaskan oleh beberapa pihak.
Tanpa kita sedari sebenarnya sebahagian masalah di bumi dapat diselesaikan melalui penggunaan teknologi dan aplikasi angkasa,
Contohnya melalui satelit, manusia dapat melakukan pemantauan aktiviti di muka bumi, serta pengesanan bencana alam seperti ribut, taufan dan kebakaran hutan. Semua ini menggunakan angkasa sebagai mediumnya.
Begitu juga dengan penyelidikan yang dilakukan di angkasa lepas terutamanya di Stesen Angkasa Antarabangsa (International Space Station, ISS) yang berada 360 km dari permukaan Bumi.
Penyelidikan serupa ini dikenali sebagai penyelidikan mikrograviti. Penyelidikan bermutu tinggi ini dijalankan oleh para angkasawan yang dikenali sebagai payload specialist.
Mereka merupakan sekumpulan saintis atau jurutera yang menjalankan penyelidikan tertentu dalam sesuatu misi yang ditetapkan dan hasil penyelidikan yang mereka jalankan itu mendatangkan manfaat yang sangat berguna kepada manusia dan tentunya Malaysia tidak mahu ketinggalan di dalam usaha ini.
Apabila disebutkan mikrograviti ia bermaksud satu keadaan di mana pengaruh graviti hampir sifar (tiada tarikan graviti).
Ini boleh dilihat apabila angkasawan terapung-apung di dalam pesawat angkasa atau ISS.
Mengapa eksperimen mikro graviti penting?
Bagaimana dunia hendak menjustifikasi dengan menghantar beberapa orang angkasawan ke ISS dengan kos yang besar untuk menjalankan kajian mikrograviti, sedangkan terdapat sejumlah penduduk dunia daripada enam bilion keseluruhannya yang tinggal di Bumi dengan keadaan yang bergraviti dan serba kekurangan, miskin dan sebagainya?
Mengapa pentingnya eksperimen mikrograviti sehinggakan negara-negara maju berlumba-lumba menghantar eksperimen ke ISS berserta serta lain-lain program angkasa?
Jika program ini membazir dan tidak menguntungkan, mana mungkin negara-negara maju ini sanggup melabur untuk itu.
Kita perlu faham tidak semua angkasawan, saintis dan jurutera di bumi yang terlibat dengan program pengkajian sains mikrograviti di ISS mengkaji keadaan atau suasana mikrograviti sahaja.
Sebaliknya, mereka menggunakan suasana mikrograviti sebagai alat untuk mereka lebih memahami persoalan-persoalan asas untuk menyelesaikan masalah di bumi.
Pemahaman asas ini terutamanya di dalam bidang sains hayat, kimia serta fizikal amat mustahak untuk penyelidik memperbaiki dan mengoptimumkan untuk menyelesaikan masalah kehidupan seharian di bumi terutamanya dalam bidang sains perubatan, kejuruteraan dan teknologi.
Selain daripada itu, program penyelidikan sains mikrograviti menawarkan peluang yang cerah untuk pengkormesialan terutama melalui penciptaan produk-produk baru hasil dari kajian di angkasa lepas khususnya di ISS.
Ini adalah kerana suasana mikrograviti menawarkan peluang untuk sesuatu bahan (material) di bangunkan di mana suasana di Bumi sudah pasti tidak mengizinkan disebabkan oleh pengaruh graviti yang besar.
Bahan-bahan ciptaan baru ini sudah pasti dapat digunakan sebagai sebagai peranti elektronik, superkonduktor yang memungkin untuk penciptaan komputer yang lebih kecil tapi berkuasa besar, mengurangkan pencemaran di Bumi dan penemuan ubatan-ubatan baru yang secara langsungnya akan meningkatkan kualiti hidup manusia.
Kesimpulannya ialah penyelidikan mikrograviti di ISS dapat digunakan sebagai alat untuk menyelesaikan masalah-masalah di bumi.
Informasi Lanjut Sila Klik Di sini Utusan
Posted by MOHD TARMIZI YUSSOP at 6:24 AM 0 comments
Labels: Science And Technology
Posted by MOHD TARMIZI YUSSOP at 5:39 PM 0 comments
Labels: My Biz
Posted by MOHD TARMIZI YUSSOP at 3:20 PM 0 comments
Labels: My Self
Posted by MOHD TARMIZI YUSSOP at 2:30 PM 0 comments
Posted by MOHD TARMIZI YUSSOP at 10:00 AM 0 comments
Labels: Health
Posted by MOHD TARMIZI YUSSOP at 4:23 AM 0 comments
Labels: My Self
Posted by MOHD TARMIZI YUSSOP at 4:12 AM 0 comments
Labels: My Biz
Posted by MOHD TARMIZI YUSSOP at 5:20 AM 0 comments
Labels: Health


