Oleh MHD FAIROS ASILLAM (UTUSAN)
Naluri manusia sememangnya suka mencari kelainan dan meneroka sesuatu yang baru. Angkasa semenjak zaman dahulu kala lagi telah menarik minat mereka.
Fenomena seperti pergerakan bintang, planet, kejadian gerhana, komet dan lain-lain lagi telah menarik keinginan manusia untuk mengetahui dengan lebih terperinci lagi, apa rahsianya, apa yang berlaku di 'atas' sana. Ia masih misteri dan penjelasan untuknya perlu dicari.
Selama beribu-ribu tahun, manusia berangan untuk menjelajah ke angkasa, melawat planet, matahari, bulan dan lain-lain. Penjelajahan tersebut bermula dengan pengamatan dengan mata kasar, teropong, teleskop dan penghantaran satelit ke angkasa.
Satu era penjelajahan baru bermula apabila konsep stesen angkasa mula diperkatakan oleh Hermann Julius Oberth, seorang saintis Romania.
Pada tahun 1952, Dr. Werner von Braun membayangkan konsep stesen angkasa yang mempunyai diameter 7.6 meter.
Impian itu semakin menjadi kenyataan bila sebuah roket berkuasa tinggi telah dilancarkan pada 4 Oktober 1957 yang membawa satelit buatan pertama, Sputnik 1 ke angkasa.
Semenjak itu, beratus-ratus satelit telah dilancarkan ke angkasa dengan pelbagai aplikasi seperti pemerhatian bumi, komunikasi, meramal cuaca dan sebagainya.
Persoalan mengapa manusia perlu ke angkasa, apakah keuntungannya sering diperbahaskan oleh beberapa pihak.
Tanpa kita sedari sebenarnya sebahagian masalah di bumi dapat diselesaikan melalui penggunaan teknologi dan aplikasi angkasa,
Contohnya melalui satelit, manusia dapat melakukan pemantauan aktiviti di muka bumi, serta pengesanan bencana alam seperti ribut, taufan dan kebakaran hutan. Semua ini menggunakan angkasa sebagai mediumnya.
Begitu juga dengan penyelidikan yang dilakukan di angkasa lepas terutamanya di Stesen Angkasa Antarabangsa (International Space Station, ISS) yang berada 360 km dari permukaan Bumi.
Penyelidikan serupa ini dikenali sebagai penyelidikan mikrograviti. Penyelidikan bermutu tinggi ini dijalankan oleh para angkasawan yang dikenali sebagai payload specialist.
Mereka merupakan sekumpulan saintis atau jurutera yang menjalankan penyelidikan tertentu dalam sesuatu misi yang ditetapkan dan hasil penyelidikan yang mereka jalankan itu mendatangkan manfaat yang sangat berguna kepada manusia dan tentunya Malaysia tidak mahu ketinggalan di dalam usaha ini.
Apabila disebutkan mikrograviti ia bermaksud satu keadaan di mana pengaruh graviti hampir sifar (tiada tarikan graviti).
Ini boleh dilihat apabila angkasawan terapung-apung di dalam pesawat angkasa atau ISS.
Mengapa eksperimen mikro graviti penting?
Bagaimana dunia hendak menjustifikasi dengan menghantar beberapa orang angkasawan ke ISS dengan kos yang besar untuk menjalankan kajian mikrograviti, sedangkan terdapat sejumlah penduduk dunia daripada enam bilion keseluruhannya yang tinggal di Bumi dengan keadaan yang bergraviti dan serba kekurangan, miskin dan sebagainya?
Mengapa pentingnya eksperimen mikrograviti sehinggakan negara-negara maju berlumba-lumba menghantar eksperimen ke ISS berserta serta lain-lain program angkasa?
Jika program ini membazir dan tidak menguntungkan, mana mungkin negara-negara maju ini sanggup melabur untuk itu.
Kita perlu faham tidak semua angkasawan, saintis dan jurutera di bumi yang terlibat dengan program pengkajian sains mikrograviti di ISS mengkaji keadaan atau suasana mikrograviti sahaja.
Sebaliknya, mereka menggunakan suasana mikrograviti sebagai alat untuk mereka lebih memahami persoalan-persoalan asas untuk menyelesaikan masalah di bumi.
Pemahaman asas ini terutamanya di dalam bidang sains hayat, kimia serta fizikal amat mustahak untuk penyelidik memperbaiki dan mengoptimumkan untuk menyelesaikan masalah kehidupan seharian di bumi terutamanya dalam bidang sains perubatan, kejuruteraan dan teknologi.
Selain daripada itu, program penyelidikan sains mikrograviti menawarkan peluang yang cerah untuk pengkormesialan terutama melalui penciptaan produk-produk baru hasil dari kajian di angkasa lepas khususnya di ISS.
Ini adalah kerana suasana mikrograviti menawarkan peluang untuk sesuatu bahan (material) di bangunkan di mana suasana di Bumi sudah pasti tidak mengizinkan disebabkan oleh pengaruh graviti yang besar.
Bahan-bahan ciptaan baru ini sudah pasti dapat digunakan sebagai sebagai peranti elektronik, superkonduktor yang memungkin untuk penciptaan komputer yang lebih kecil tapi berkuasa besar, mengurangkan pencemaran di Bumi dan penemuan ubatan-ubatan baru yang secara langsungnya akan meningkatkan kualiti hidup manusia.
Kesimpulannya ialah penyelidikan mikrograviti di ISS dapat digunakan sebagai alat untuk menyelesaikan masalah-masalah di bumi.
Informasi Lanjut Sila Klik Di sini Utusan
0 comments:
Post a Comment